Perayaan Ponggal diraikan oleh kaum India pada pertengahan bulan Januari bagi merakamkan Uttarayan atau pergerakan matahari menuju ke utara. Diraikan selama empat hari berturut-turut, Ponggal termasuk Bhogi merupakan acara terbesar selepas sambutan Deepavali dan Thaipusam. Jika di India, perayaan ini disambut lebih meriah daripada Deepavali selama seminggu. Di Malaysia, tidak kurang hebatnya peranan yang dimainkan dalam seisi keluarga.
Bhogi
Pada hari pertama perayaan ini, Bhogi yang membawa maksud yang cukup signifikan menandakan permulaan penting dalam kehidupan masyarakat India.
Seluruh rumah dibersihkan dan barang-barang lusuh dibuang dan dibakar bagi menyingkirkan anasir-anasir buruk. Bhogi juga secara tidak langsung memberi penghormatan kepada Dewa Indra atau Dewa Langit dan Hujan yang menyuburkan tanah selepas hampir setahun bercucuk tanam.
Surya Ponggal
Pada hari kedua, Surya Ponggal disambut dengan meriah di rumah masing-masing. Surya Ponggal memberi penghormatan kepada tenaga matahari dan bermulanya hari pertama bulan Thai dalam kalendar Tamil. Seawal pukul 5 pagi, penganut-penganut agama Hindu di Malaysia, India dan di serata dunia membuat persiapan untuk memasak Ponggal dalam periuk tanah liat. Kaum wanita yang sudah berkahwin dan anak dara akan bangun awal untuk membentuk ‘kolam’ menggunakan beras berwarna di halaman rumah. Pintu rumah diikat dengan tebu dan periuk tanah liat dihias dengan daun mangga, daun kunyit dan pewarna ‘kum kum’ bagi menceriakan lagi suasana.
Amalan ini amat simbolik terutamanya kepada golongan petani. Ia bukan sahaja merupakan hari pertama padi dituai tetapi beras yang dikumpul digunakan untuk memasak Ponggal sehingga ia melimpah keluar. Perbuatan membiarkan masakan ini melimpah dikenali sebagai Ponggal dalam bahasa Tamil. LIMPAHAN Ponggal bermaksud kehidupan yang serba baik. Ketika susu melimpah, ungkapan ‘Ponggal O Ponggal, Ponggal O Ponggal, Ponggal O Ponggal’ disebut sebanyak tiga kali oleh penganut agama Hindu yang mengelilingi periuk tanah liat berhias yang digunakan untuk memasak susu itu.
PONGGAL yang melimpah juga membawa maksud bahawa hidup seseorang akan dilimpahi kemakmuran, kesejahteraan dan keamanan.
Susu ini kemudiannya dicampur dengan beras, gula merah, buah pelaga, badam, buah gajus, kismis dan minyak sapi sebelum disembahyangkan serta diedarkan kepada para penganut.
Mattu Ponggal
Pada hari ketiga sambutan Ponggal iaitu atau Ponggal lembu, lembu-lembu dimandikan, dibubuh kunyit pada tanduknya dan badan serta dikalungkan dengan bunga. Ponggal yang dimasak juga disuapkan kepada lembu dan haiwan-haiwan ternakan lain seperti yang disaksikan di Kuil Sri Srinivasa Perumal.
Lembu dianggap sebagai haiwan yang berjasa dan suci oleh para petani kerana membantu membajak tanah dan memberi susu yang berkhasiat, jelas Balakrishnan lagi.
Pada hari ini juga, haiwan-haiwan itu dibiarkan berehat.
Ponggal terakhir pada hari keempat ialah Kanni Ponggal. Kanni bermaksud anak dara dan seperti namanya, mereka yang sudah mencapai akil baligh digalakkan untuk memasak Ponggal sama ada di rumah atau beramai-ramai di kuil. Kanni Ponggal juga secara tidak langsung menarik perhatian ibu bapa untuk mencari jodoh untuk anak-anak lelaki mereka.
Penduduk di bahagian selatan Tamil Nadu menyambut perayaan ini seumpama sambutan Tahun Baru. Pelbagai acara seperti pertandingan Jallikattu (pertandingan antara manusia dan lembu) dan Selambam (seni mempertahankan diri) diadakan di Madurai, Tiruchirapalli dan Tanjavur. Sungguhpun permainan ini tidak menyerlah di Malaysia, namun Ponggal tetap disambut dengan penuh meriah mengikut adat.
Kosmo 24 mac 2009 Oleh SUBASHINI RAJANDRA
No comments:
Post a Comment