Monday, March 23, 2009

VISHU : Tahun Baru Masyarakat Malayali

Bagi masyarakat keturunan Malayali atau Malayalam, sambutan tahun baru dikenali sebagai Vishu. Walaupun pada asalnya dirayakan penduduk keturunan Malayali di Kerala, India; kini Vishu diraikan masyarakat Malayali di seluruh dunia. 

Sebagaimana majoriti penduduk kaum India, masyarakat Malayali juga mementingkan amalan melihat objek suci sebagai objek pertama pada subuh hari perayaan. Amalan ini adalah berdasarkan kepercayaan bahawa sekiranya seorang individu melihat objek suci pada pagi hari perayaan, maka hidupnya akan bahagia dan mendapat rezeki yang melimpah-limpah. 

Sehari sebelum hari Vishu, kaum wanita dalam keluarga Malayali akan menyediakan Vishukani yang akan dijadikan objek suci untuk dipandang menjelang subuh keesokannya. 
Vishukani dibuat menggunakan sebuah bekas tembaga bulat yang menyerupai sebiji periuk besar. Pada dasar periuk tembaga itu diletakkan beras, lalu ditutup dengan sehelai kain bersih. 
Di atas kain itu pula akan diletakkan beberapa barangan mengikut kemampuan keluarga terbabit. Barangan yang biasanya diletakkan adalah seulas nangka, sebiji mangga, sehelai kain bersulam emas, sayur-sayuran, bunga warna kuning, duit syiling, bekas kecil berisi air serta senaskhah kitab suci. 
Barangan lain yang turut disusun kemas di dalam periuk tembaga itu adalah perkakas yang digunakan untuk upacara sembahyang (asthamangalam), sirih, pinang dan cermin kecil. 
Selain daripada itu, sebiji kelapa dipecah dua lalu dijadikan sepasang lampu. Minyak diisi dan dipasang sumbu padanya. Dua lampu minyak yang dihasilkan daripada buah kelapa ini turut diletakkan di dalam bekas tembaga berkenaan. Maka siaplah Vishukani. 
Pada hari sambutan tahun baru Vishu, golongan wanita akan bangun lebih awal. Biasanya, wanita paling tua dalam keluarga akan memasang dua lampu yang diperbuat daripada buah kelapa yang dipecah dua. Maka bahagian dalam bekas tembaga itu akan bersinar dan memancarkan cahaya kekuningan. 
Para ahli keluarga akan dibangunkan serta diingatkan supaya tidak membuka mata. Golongan wanita (nenek atau ibu) akan memimpin anak-anak dengan mata terpejam menuju ke sisi Vishukani. Apabila anak-anak itu membuka mata, mereka akan melihat Vishukani yang diterangi cahaya kuning keemasan sebagai objek pertama pada tahun baru Vishu. 
Warna kuning selalu diasosiasikan dengan penduduk keturunan Malayali kerana warna berkenaan menjadi pilihan pada setiap perayaan. Cahaya warna kuning pada Vishukani disamakan dengan warna emas; iaitu lambang kekayaan dan kemakmuran. 

Amalan melihat Vishukani ini bukan hanya untuk ahli keluarga. Pengasuh atau orang gaji yang tinggal bersama-sama keluarga itu tidak dikecualikan. Sekiranya keluarga berkenaan mempunyai haiwan ternakan dan peliharaan, maka haiwan berkenaan juga diberi peluang melihat Vishukani! 

Selepas setiap anggota keluarga selesai melihat Vishukani, bermulalah Vishukaineetom iaitu upacara memberi hadiah tahun baru. Biasanya warga tua dalam keluarga berkenaan akan mengeluarkan duit syiling, beras dan bunga kuning dari dalam bekas tembaga dan memberikannya kepada setiap ahli keluarga. Pakaian baru yang disebut kodi vastram juga akan diberikan. 

Anggota keluarga turut mendapatkan restu daripada orang tua. Amalan Vishukainetom dipercayai akan membawa kebahagiaan dan kemewahan kepada generasi muda yang menerima hadiah dan restu daripada generasi tua. 

Selepas mandi, ahli keluarga akan memakai pakaian tradisional kodi vastram yang diterima sebagai Vishukaineetom. Selepas itu, mereka akan sembahyang bersama-sama dan meminta restu agar tahun baru membawa kemakmuran. 

Sesudah sembahyang, seisi keluarga akan menikmati sadya iaitu jamuan makan tahun baru. Masakan nabati (vegetarian) ini hanyalah beberapa juadah yang sederhana tetapi sangat istimewa bagi masyarakat Malayali pada pagi tahun baru Vishu. 

Sadya disedia menggunakan sayur-sayuran dan buah-buahan yang senang didapati pada musim berkenaan. Masakan berasaskan nangka, mangga, labu manis (pumpkin) dan kelapa menjadi pilihan utama. 


Dewan Budaya, April 2004

Kavya, April 2004 

No comments:

Post a Comment